Tuesday, February 16, 2010

Alexithymia Disorder

Tuesday, February 2, 2010

Contoh Tugasan Pengalaman Peribadi

Berikut ialah contoh pengalaman peribadi daripada pelajar semester lepas. Ini hanya merupakan sebahagian daripada keseluruhan  tugasan.

Seterusnya peristiwa yang benar-benar memberi kesan kepada diri saya adalah ketika saya berumur dua belas tahun di mana pada ketika itu saya baru mengambil keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR). Saya merasakan peristiwa ini yang menyebabkan saya berjaya sampai ke tahap ini. Mengapa saya berkata demikian adalah kerana pada ketika saya menyampaikan keputusan yang saya perolehi iaitu 4A1C kepada ayah saya, saya amat kecewa apabila ayah saya mengatakan dengan nada menyindir di hadapan saudara-saudara saya bahawa jumlah A yang saya perolehi amat sedikit berbanding orang lain. Pada ketika itu saya amat malu dan terus menangis dalam bilik. Saya kecewa kerana usaha saya tidak dihargai sebaliknya diperkecil sebegitu rupa. Dalam pada saya menangis, saya mula berjanji pada diri saya bahawa saya akan buktikan bahawa saya boleh berjaya. Sehingga kini, saya masih membuktikan pada ayah saya bahawa saya masih boleh berjaya dengan hanya keputusan UPSR saya yang tidak memuaskan hatinya.

Semasa saya berada dalam keadaan menangis, gembira, marah dan pelbagai lagi seperti peristiwa di atas, saya mendapati riak atau ekspresi wajah yang berlainan yang hadir secara semulajadi di mana riak itu bukanlah direka mahupun boleh digabungkan dengan riak yang berbeza dari emosi kita pada ketika itu. Sememangnya menjadi tabiat saya, saya gemar melihat cermin apabila menangis dan berkata-kata di hadapan cermin berkenaan. Saya mendapati riak yang berlainan sememangnya mencerminkan emosi yang berlainan. Selain itu juga, kita dapat membezakan perasaan seseorang melalui riak wajah. Misalnya, emak saya yang gembira melihat keputusan saya mengekspresikan kegembiraan tersebut dengan senyuman manakala ayah saya pada ketika itu hanya mencebik bibir. Ekspresi wajah berkenaan seperti yang diperkatakan oleh Carroll Izard ekspresi wajah hadir secara semulajadi.

Setelah mempelajari kursus pengurusan emosi ini, saya menyedari bahawa setiap emosi yang saya lalui mempunyai kaitan dengan teori yang dikemukan oleh pengkaji-pengkaji emosi. Seperti yang terjadi kepada saya yang beranggapan negative terhadap layanan emak dan ayah saya terhadap permintaan saya memiliki lessen adalah berhubungan dengan teori kognitif di mana berlakunya kesilapan dalam tanggapan iaitu misattribusi. Kesilapan ini berlaku kerana terdapat perbezaan layanan antara saya dan kakak serta abang saya. Maka saya beranggapan bahawa sikap emak dan ayah saya adalah pilih kasih antara anak-anaknya. Hal ini berlaku kerana saya tersilap menilai tindakan tersebut kerana pada ketika itu saya terlalu mengikutkan perasaan tanpa mengenal pasti masalah di sebaliknya. Teori pindahan rangsangan perasaan juga terjadi pada saya dalam peristiwa di atas iaitu ketika adik saya mengajak saya bermain bersamanya.

Teori ini mengatakan bahawa kebangkitan perasaan daripada satu sumber yang lain akan mempengaruhi kognisi dan reaksi yang tidak berkaitan. Jelas bahawa emosi marah saya kerana gagal untuk memiliki lesen telah dipindahkan kepada situasi di mana adik saya ingin bermain dengan saya tetapi saya menamparnya. Saya percaya setiap manusia mesti menghadapi situasi ini namun tidak menyedarinya. Perpindahan perasaan ini juga sering berlaku pada diri rakan saya di mana peristiwa yang membawa perasaan sedih sewaktu di rumah sering dibawa ke sekolah di mana sewaktu situasi pada ketika itu adalah gembira tidak dihiraukan sama sekali. Hal ini berlaku kerana perasaan daripada satu sumber lain mempengaruhinya dalam situasi yang berbeza.

Peristiwa seterusnya yang ingin saya kongsikan bersama merupakan pengalaman sahabat saya yang melibatkan saya pada ketika itu. Peristiwa ini terjadi sewaktu kami ingin pergi ke Ulu Bendul menaiki kenderaan awam. Perjalanan daripada Klang ke Seremban mengambil masa selama dua jam dengan menaiki bas. Perjalanan yang pada awalnya lancar tiba-tiba bertukar kepada suasana yang agak kurang menyenangkan sebaik sahaja kami tiba di Terminal One di Seremban. Suasana di sana sangat sesak dipenuhi orang awam yang sedang berebut-rebut menaiki bas yang terhad. Ketika kami berasak-asak menaiki bas untuk ke Ulu Bendul, tiba-tiba kawan saya menunjukkan riak muka yang kurang selesa dan saya mulai merasakan ada sesuatu yang tidak kena melalui bahasa tubuhnya. Namun, saya hanya membiarkan dahulu kerana keadaan yang terlalu sesak tidak mengizinkan saya untuk mengetahui perkara yang tidak menyenangkan itu dengan lebih lanjut.

Setelah sampai di tempat yang kami telah rancangkan selama ini, kawan saya mulai nangis teresak-esak. Hal ini amat mengejutkan kami dan dengan segera kami ke arahnya dan bertanyakan masalah beliau. Kawan saya mula menceritakan kejadian yang menimpanya. Menurutnya, ketika kami sedang berasak-asak untuk masuk ke dalam bas yang ada ketika itu, tiba-tiba hadir seorang lelaki ... (bahagian ini sengaja dipadamkan kerana agak sensitif) ....

Melalui peristiwa ini, saya telah menyedari ketidaksenangan hati kawan saya itu sejak dari kami berasak-asak untuk menaiki bas di mana kawan saya menunjukkan riak wajah dan bahasa tubuhnya ketika itu. Seperti yang diutarakan oleh salah seorang tokoh emosi iaitu Robert Plutchik yang menyatakan bahawa terdapatnya struktur-struktur emosi yang berbeza yang boleh diterangkan dalam tiga bahasa yang berbeza iaitu bahasa subjektif, bahasa badan(kelakuan) dan bahasa berfungsi. Terlebih dahulu kita perlu memahami makna bagi setiap jenis bahasa yang beliau utarakan. Bahasa subjektif merujuk kepada bahasa yang lazim untuk emosi seperti takut, gembira dan sedih. Manakala bahasa badan pula adalah reaksi yang ditunjukkan oleh individu sebagai tanda respon terhadap emosi yang terhasil. Berbeza pula bagi bahasa berfungsi yang menggambarkan apakah yang dilakukan oleh emosi terhadap seseorang.

Berdasarkan pengalaman saya bersama rakan saya tadi, jelas bahawa rakan saya menunjukkan struktur emosi bahasa badan di mana emosi yang dirasainya ketika itu diterbitkan melalui reaksi badannya yang dapat memberi tanda dan emosi tersebut dapat dikenal pasti oleh individu lain tanpa perlu diberitahu oleh individu tersebut. Rakan saya juga telah menunjukkan ekspresi wajah yang jelas menggambarkan emosinya ketika itu. Hal ini membolehkan saya dan rakan-rakan yang lain mengesan perbezaan pada emosi yang berlaku pada dirinya. Maka, seseorang tidak dapat membohongi seseorang yang lain kerana kebiasaannya bahasa tubuh dan ekspresi yang ditunjukkan oleh seseorang telah menjelaskan emosi yang sedang dialami oleh individu terbabit meskipun mereka cuba untuk menafikan emosi yang mereka hadapi ketika itu.