Friday, September 3, 2010

A127214 NUR HABIBAH LJ07


Assalammualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Hari rabu lepas 1hb september kita berjaya menamatkan kuliah yang bertajuk EMOSI DAN INGATAN. Tarikan terhadap permulaan kuliah pada minggu ini begitu mengujakan emosi saya, dan saya pasti begitu juga dengan rakan-rakan lain bukan? Permulaan kuliah pada rabu lepas kami dipertontonkan sebuah video klip yang bertajuk Indonesia menangis. Tayangan video tersebut adalah berkaitan dengan bencana tsunami yang berlaku hampir 6 tahun lepas, di mana telah meragut berjuta-juta nyawa hidupan serta kemusnahan harta benda. Sudah pasti keadaan ini telah meninggalkan kesan yang mendallam terhadap mangsa-manga yang mengalaminya.

Selepas tanyangan diberikan, kami diajukan dengan beberapa persoalan oleh Encik Zamri. Antara persoalan yang menarik perhatian saya ialah, adakah emosi akan mempengaruhi ingatan kita? Bagi pendapat saya, sememangnya emosi sangat mempengaruhi ingatan kita. Hal  ini kerana, berdasarkan video yang ditayangkan, saya dapat merasakan bahawa mangsa-mangsa tsunami semestinya masih berasa trauma dengan kajadian yang menimpa mereka. Buktinya, apabila kita melalui sesuatu peristiwa yang terlalu memberi impak yang mendalam dalam kehidupan kita, semestinya kita tidak lari daripada emosi yang tidak stabil. Peristiwa tersebut akan sering menganggu perasaan kita kerana sukar luput dalam kotak simpanan minda, sehingga menjadikan seseorang itu mengalami trauma yang teruk. Oleh hal yang demikian , situasi sebegilah yang menjawab kepada persoalan emosi mempunyai kaitan dengan ingatan.

Dalam kuliah ini kami mempelajari pelbagai perkara mengenai perkaitan emosi dengan ingatan. Dalam tajuk ini, emosi dan ingatan ( memory & emotion) boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu kandungan emosi dan keadaan emosi. Seperti yang kita sedia maklum, emosi positif memberikan impak yang baik kepada kita. Oleh itu, emosi ini begitu senang untuk kita ingati jika ingin dibandingkan dengan emosi negatif. Emosi negatif sukar untuk diingati dalam ingatan kita kerana ia senang luput daripada ingatan.

Elemen yang pertama ialah kandungan emosi. Maksud elemen yang pertama ini adalah, kita lebih mudah untuk mengingati sesuatu peristiwa yang kita sendiri alami daripada peristiwa yang diceritakan oleh orang lain. Sebagai contoh, pengalaman manis saya di PLKN yang sudah hampir 4 tahun berlalu masih kekal dalam ingatan saya sehingga sekarang. Kenangan-kenangan bersama kawan-kawan satu kompeni tidak luput dalam ingatan saya. Sebagai contoh, semangat kerjasama kami dalam menyertai pertandingan rempuh halangan sempena majilis tamat latihan tidak dapat dilupakan, kerana itulah satu-satunya cabaran yang lasak yang pernah saya alami sehinggankan kami mendapat tempat pertama.

            Elemen yang kedua ialah yang berkaitan dengan keadaan emosi. Keadaan emosi ini merangkumi dua aspek yang diketengahkan, iaitu aspek kesepadanan emosi ( mood congruence) dan kebergantungan emosi (mood dependence). Apakah yang dikatakan dengan kesepadanan emosi? Kesepadanan emosi di sini membawa maksud, apabila sesuatu peristiwa itu senang diingati berdasarkan emosi kita waktu itu  selaras dengan sesuatu peristiwa yang berlaku  pada satu masa tersebut. Sebagai contoh, apabila emosi kita pada ketika itu berasa amat gembira, peristiwa positif adalah lebih mudah untuk kita ingati, begitulah jika sebaliknya berlaku.

Dalam tajuk emosi dan ingatan ini juga, kami didedahkan dengan keadaan fisiologikal bahagan otak. Bahagian otak yang terlibat dalam mempengaruhi emosi dan ingatan kita ialah seperti amygdala, cerebellum dan prefrontal cortex. 'Amygdala' adalah bahagian yang penting dalam mengingati sesuatu peristiwa. Ia juga berfungsi untuk memberikan signal kepada minda kita sama ada sesuatu peristiwa itu perlu atau tidak untu diberikan perhatian untuk diingati dan disimpan dalam memori otak. Untuk pengetahuan saudara dan saudari, bahagian ini kebiasaannya sering dikaitkan dengan emosi negatif  dan amat sensitif terhadap emosi tersebut. Bahagian cerebellum pula merupakan bahagian yang paling kuat dan bertanggungjawab dalam mengawal pergerakan kita dan juga berfungsi untuk mengingatkan sesuatu emosi kita, terutamanya emosi tang melibatkan perasaan ketakutan yang berpanjangan. Bahagian yang seterusnya prefrontal cortex pula adalah bahagian yang teransang melalui gabungan tugasan minda dan keadaan emosi.

Seperti yang kita sedia maklum, orang perempuan lebih senang  dipengaruhi oleh emosi jika ingin dibandingkan dengan lelaki. Oleh hal yang demikian, dalam kuliah ini juga kami mempelajari bahawa jantina dan umur seseorang juga mempengaruhi ingatan dan emosi kita.  Buktinya penyataan ini ialah, wanita dapat mengingati peristiwa yang beremosi lebih lama jika ingin dibandingankan dengan lelaki. Jadi terbuktilah bahawa pernyataan yang saya mula-mula nyakan bahawa wanita sangat senang dipengaruhi emosi dalam kehidupan mereka. Saya sebagai wanita, mengakui kebenaran tersebut. Selain itu juga, orang yang lebih tua begitu mudah untuk melupakan sesuatu peristiwa dan lebih beremosi. 

Kesimpulannya daya ingatan kita lebih kekal untuk mengingati peristiwa yang memberikan impak yang mendalam dalam sepanjang kehidupan kita, sama ada yang negatif atau positif. Namun tidak semestinya segala peristiwa yang memberikan kesan mendalam dalam diri dari segi emosi positif dapat dikekalkan dalam kotak ingatan kita. sekian.


No comments: