Ikuti keluhan seorang OKU:
Aku insan kurang upaya (OKU) . Tiada yang istimewa ada pada diriku. Hanya sekujur tubuh kaku yang layu. Sekeping hati yang lesu dan pilu. Secebis kenangan lalu dan sebuah kerusi roda milikku.
Dengan hanya satu jari aku menekan kibod mencari satu huruf. Dari satu huruf kujadikan satu perkataan. Dari satu perkataan kujadikan sebaris ayat sehingga menjadi sebuah cerita.
Sebuah catatan hidup, suka dan derita dari insan yang dilahirkan normal tetapi di takdirkan cacat di penghujung hidupnya. Tiada yang istimewa di sini, hanya Nostalgia dan kenangan silam dari pemilik blog untuk di kongsi bersama sebelum mata terpejam dan nafas terhenti.
Berikut ialah Ramadan pertama beliau sebagai OKU:
Jumaat 8 Nov’ 2002 bersamaan 1 Ramadhan 1423 Hijriah. Hari pertama berpuasa. Setelah lima bulan dirawat di Hospital Tawakal, aku dipindahkan ke Pusat Perubatan Gleneagles di Jalan Ampang untuk meneruskan rawatan pemulihan fiseoterapi.
Aku dan isteri serta anakku dihantar ke hospital Gleneagles dengan menggunakan ambulan. Sampai di sana aku diperiksa oleh Dr. Tengku dan dihantar ke bilik No. 650. Sepanjang lima bulan dirawat di Tawakal dahulu, isteriku turut sama menemaniku siang dan malam di hospital. Bilik hospital sudah seperti bilik tidurnya juga.
Suasana di sini serba baru dengan jururawat-jururawat yang baru. Amat sukar bagi aku untuk menyesuaikan diri di sini. Jika di Tawakal majoriti jururawatnya di kalangan bangsa melayu tetapi di sini berbagai bangsa. Dari negara Filipina dan India pun ada.
Keesokan harinya bermulalah rawatan fesioterapiku. Jam 10 pagi aku akan dibawa ke bilik rawatan dan tamat jam 1.00 tengahari. Di sebelah petang, jam 2.00 aku akan dibawa kembali ke bilik rawatan dan tamat 4.00 petang. Begitulah seterusnya rutin harian rawatanku. Jemu dan bosan!
Rawatannya sungguh berat bagiku yang berkeadaan begini. Nasib baik isteriku menemaniku di setiap sesi rawatan untuk memberikan semangat kepadaku.
Aku di suruh menyusun permainan lego, di suruh mengambil dan membaling bola. Berbagai-bagai lagilah. Aku kembali bermain seperti kanak-kanak. Latihan bertujuan untuk mendapatkan kembali kekuatan jari dan tangganku. Adakalanya hatiku memberontak! Marah! Dan bertanya kepada fesioterapis kenapa perlu aku lakukan semua ini?
Untuk memulihkan pemikiranku, aku juga di rujukan kepada Pakar Pskitri kerana ada masanya aku murung, merepek-repek bercakap dan marah-marah sendirian. Paling aku tidak gemar sesi rawatannya. Aku ni dahlah jenis yang berat mulut, doktornya pula mengajakku berbual dan bercerita. Aku faham doktor cuba mengurangkan tekanan perasaanku. Tapi aku benci....
Di waktu petang isteriku akan keluar membeli juadah untuknya berbuka puasa di gerai berdekatan dengan hospital. Aku tiada selera untuk makan masakan di hospital walaupun masakannya berbagai jenis menu.
Kesian melihat isteriku pergi berseorangan. Tidak seperti tahun-tahun lalu, kami sama-sama pergi ke pasar ramadhan membeli juadah untuk berbuka. Berpimpin-pimpin tangan melintasi jalan. Kuih tepung pelita dan kuih buah melaka menjadi kuih kegemaranku. Gulai pajri nenas dan ikan bakar menjadi pilihanku.
Jika di rumah pula, isteriku sibuk menghidang makanan dan aku pula tolong membancuh minuman. Tapi kini segalanya berubah. Aku cuma dapat memandang saja. Tiada lagi tepung pelita tiada lagi pajri nenas kegemaranku. Dan berbuka pula tanpa anak-anak di sekeliling.
Di waktu malam pula kami tinggal berdua saja. Aku pandang dia, dia pandang aku. Sunyi rasanya tanpa anak-anak. Kalau dahulu waktu-waktu begini kami akan ke surau bertarawih bersama dan kemudian bermoreh.
Di waktu begini aku teringat seronoknya suasana riuh rendah di surau dengan suara kanak-kanak berlari ke sana dan ke sini. Terkenang merdunya suara imam yang membaca surah-surah Al-quran. Teringatkan wajah-wajah rakanku di surau. Kini semuanya tidak lagi kedengaran dan kelihatan.
Ada ketika aku tak dapat menahan perasaanku. Aku menangis teringatkan anak-anakku. Terbayangkan wajah-wajah mereka. Kesian mereka berbuka puasa tanpa ibu dan bapa. Inilah suasana sedih yang kami rasai dan lalui hampir setiap malam.
Setelah masuk seminggu berpuasa, sekolah pun mula bercuti. Anakku Syafeeni datang menemani kami di hosptial. Terasa terhibur juga, sekurang-kurangnya kami bertiga sekarang. Adalah banyak perkara yang dapat dibualkan.
Oleh kerana anakku ada menemani, isteriku meminta izin untuk kembali bekerja. Telah hampir lima bulan dia bercuti tanpa gaji. Aku memberi keizinan kepadanya untuk kembali berkerja.
Pagi jam 7.00 , isteriku bersiap-siap dari hospital ke pejabatnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kesian aku melihatnya, kalau dahulu setiap pagi aku yang menghantarnya ke pejabat kali ini terpaksa dia berebut-rebut menaiki bas. Betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh isteriku. Tak terbalas olehku di dunia ini.
Tugas rutin isteriku seperti mengosok gigiku dan memberiku minum dan makan kini diambil alih oleh anakku. Aku lebih selesa tugas ini dilakukan oleh anakku daripada jururawat. Seperti biasa anakku akan menemaniku menjalani rawatan fesioterapi pagi dan petang.
Aku rasa kurang bersemangat untuk menjalani rawatan tanpa isteriku. Tapi apa nak buat, kehidupan perlu diteruskan. Yang sakit tetap sakit dan yang sihat perlu teruskan kehidupan untuk mencari rezeki.
Hampir dua minggu isteriku berkerja. Setiap kali pulang berkerja dia pasti membawa pulang juadah untuk kami berbuka puasa. Kerap kali juga isteriku sampai lewat ke hospital untuk berbuka kerana ketiadaan bas. Kesian aku melihat anakku, selagi isteriku tidak sampai, dia akan berdiri dan memerhatikan dari sudut tingkap. Dia akan tersenyum apabila nampak wajah ibunya.
Oleh kerana aku tak bersemangat untuk menjalankan rawatan, akhirnya aku meminta isteriku supaya tidak lagi bekerja dan memohon cuti tanpa gaji selama mana aku dirawat. Isteriku menurut kemahuanku asalkan aku gembira. Aku tidak bersemangat langsung untuk menjalani rawatan tanpanya di sisiku. Bagiku dia sumber kekuatanku.
Read more at Blog Kassim Selamat
Juga ikuti video klip beliau
No comments:
Post a Comment