Isnin Ogos 10, 2009
Tangisan yang dibenarkan dalam Islam
MANUSIA mempunyai perasaan suka, duka, tawa dan hiba dan sebagainya. Perasaan sedih adakalanya timbul akibat dari gangguan emosi. Justeru itu apabila keadaan ini berlaku, manusia dengan mudah menitiskan air mata.
Ada yang beranggapan apabila seseorang itu menangis, ia merupakan suatu tindakan yang lemah dan tidak menurut ajaran Islam. Anggapan ini sebenarnya tidak tepat kerana Islam sendiri telah menggariskan tangisan yang dilarang dan dibenarkan.
Tangisan boleh dibahagikan kepada dua iaitu tangisan yang berbentuk negatif dan tangisan yang berbentuk positif. Tangisan yang dilarang dalam Islam ialah tangisan yang berbentuk negatif seperti meraung dan melolong dengan sekuat hati apabila menerima atau meratapi kematian. Tangisan seumpama ini bukan sahaja di pandang negatif kepada orang yang melakukannya tetapi juga mayat yang di ratapinya itu juga turut tersiksa.
Berbeza dengan tangisan positif iaitu tangisan yang dikatakan mulia, ia terjadi kerana cinta dan takut kepada Allah S.W.T.
Seorang ulama’ pernah berkata "untuk menangis kerana takut kepada Allah sehingga air mataku menitis, adalah lebih aku suka daripada aku bersedekah emas seberat badanku. Kerana tidak seorang pun yang menangis kerana takut kepada Allah kerana sehingga setitis air matanya mengalir jatuh ke atas bumi, kecuali api neraka takkan menyentuhnya."
Antara tangisan atau titisan air mata yang dikatakan positif, mulia dan harus dalam Islam adalah seperti berikut.
Tangisan Kesyukuran
Orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT, mereka sama sekali tidak pernah mengeluh malah sentiasa redha dengan apa yang mereka terima. Oleh sebab itu kita dapati orang-orang sebegini adakalanya sampai menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat-nikmat tersebut.
Sebagai contoh yang diriwayatkan oleh Anas bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Ubay bin Ka’ab yang mafhumnya " Allah menyuruh membacakan kepadamu surah Al-Baiyinah ayat 1:
Maksudnya: Orang-orang kafir yakni ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata"
Ubay bertanya ; " Apakah Allah menyebut namaku?" Jawab nabi "ya" lalu menangislah Ubay(kerana mendengar berita gembira itu) Ayat ini memperkatakan pendirian kaum Yahudi dan Nasrani terhadap seruan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang telah menerangkaan kepada mereka agama yang telah dibawa olehnya iaitu Agama Islam. Mereka kenal Nabi yang bakal diutus sebagai Nabi akhir zaman, tetapi setelah Nabi Muhammad dibangkitkan mereka tidak percaya malah tidak mahu beriman.
Tangisan Penyelesaian
Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang telah melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh. Maka penyesalan itu timbul rasa sedih yang mendalam, yang akhirnya menitiskan air mata. Tangisan yang sedemikian timbul akibat wujudnya rasa kesedaran dan rasa takut kepada Allah SWT
"Maka hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis. Sebagai pembalasan dari apa yang telah mereka kerjakan"
Tangisan Akibat Rasa Keimanan Yang Menebal
Iman yang bersemi dalam hati akan terus subur dan mekar, apatah lagi keimanan yang kukuh dan padu itu apabila disirami pula dengan ayat-ayat suci Al-Quran, ia akan bertambah mantap sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata. Tangisan sebegini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana merupakan campuran antara rasa keimanan yang amat mendalam. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT didalam firmannya Surah Maryam ayat 58:
maksudnya "Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah, mereka tunduk bersujud dan menangis"
Tangisan Kerana Kesyukuran
Tangisan itu boleh terjadi apabila seseorang itu khusuk dalam beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih, tetapi kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan dengan penciptaNya.
Dikatakan orang yang mencapai tahap kekhusukan itu termasuklah salah satu dari tujuh golongan yang memperolehi keistimewaan pada hari qiamat seperti sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Maksudnya " Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah SWT pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungaNya: Imam yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam beribadat kepada Allah, orang yang hatinya selalu rindu pada masjid, dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah iaitu berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah. Seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan lalu ditolaknya dengan ucapan "aku takut kepada Allah", seorang yang bersedekah yang dirahsiakan sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan akhir sekali seorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan menyendiri lalu menitiskan air matanya".
Tangisan Kerana Bimbang Terputusnya Rahmat Allah SWT
Suatu hal yang menyedihkan dan amat dikhuatiri oleh orang-orang yang beriman adalah terputusnya rahmat kebajikan dan rahmat Allah SWT. Apabila keadaan ini berlaku ianya boleh merobohkan suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.
Sebagai contoh pada suatu hari sesudah Rasulullah SAW wafat Abu Bakar r.a mengajak Umar r.a kerumah Ummu Aiman seperti mana Rasulullah SAW semasa hayatnya sering menziarahinya. Ketika sampai dirumah Ummu Aiman, tiba-tiba Ummu Aiman menangis. Kedua-duanya bertanya, " Apakah yang menyebabkan kamu menangis"? Tidakkah engkau tahu bahawa yang tersedia disisi Allah untuk Rasulullah jauh lebih baik. "Ummu Aiman menjawab, " Aku tidak menangis kerana itu melainkan kerana wahyu dari langit telah terputus (terhenti) " kata-kata Ummu Aiman itu ternyata mengharukan Abu Bakar dan Umar, lalu kedua-duanya turut menangis.
Tangisan Apabila Menemukan Kebenaran
Adakalanya air mata seseorang itu akan menitis apabila ia menemukan kebenaran setelah sekian lama hanyut dalam kesesatan. Orang sebegini tanpa segan silu akan menangis dan tangisannya bukan kerana rasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan penemuan itu. Sebagai contoh hal ini pernah terjadi kepada segolongan pendeta apabila mengetahui Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW merupakan kebenaran dari Allah SWT seperti firmannya dalam Surah Al -Maidah ayat 83-84.
Maksudnya: "Dan apabila mereka itu(segolongan pendeta) mendengar apa-apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau akan lihat mereka menitiskan air matanya, lantaran mengetahui kebenaran(seraya) mereka berkata "Hai Tuhan Kami! Kami telah beriman. Oleh kerana itu catatlah kami dalam golongan orang-orang yang menyaksikan. Dan tidak patut kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, pada hal ini kami ingin supaya Tuhan kami memasukkan kami bersama kaum-kaum yang soleh." Kesimpulan
Berdasarkan huraian diatas jelaslah tangisan yang positif mempunyai keutamaan disisi Islam sehinggakan tangisan seumpama itu boleh mendatangkan manfaat. Ini kerana orang yang menitiskan air mata kerana Allah, sebenarnya merupakan orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan takwanya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Termidzi bermaksud "Kami datang kepada Rasulullah SAW sedang baginda menunaikan solat. Maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejana"
S
ebagai kesimpulan, marilah kita renungi kata-kata seorang ulama tentang kemuliaan tangisan yang positif. Katanya: "Sucikanlah empat perkara pada setiap masa: pertama cucilah wajahmu dengan air matamu, kedua cucilah lidahmu dengan berzikir kepad Allah, ketiga cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan akhir sekali cucilah dosa-dosamu dengan bertaubat kepada Allah"
Sumber Jabatan Mufti Negeri Selangor
Link
No comments:
Post a Comment