Tajuk:
Pengurusan Emosi Di Kalangan Kaunselor
Objektif Kajian:
1. Bagaimanakah seorang kaunselor menguruskan emosi tertekan?
2. Apa cabaran yang mereka hadapi dalam menguruskan emosi tersebut?
Rasional:
Perkhidmatan kaunseling merupakan salah satu perkhidmatan yang penting dalam membantu seorang individu tidak kira apa jua jawatan atau pangkat yang disandang olehnya atau masyarakat amnya dalam menangani semua jenis penyesuaian hidup dengan berpegang kepada prinsip asas, iaitu individu yang ingin membuat penyesuaian sangat memerlukan pertolongan. Definisi penyesuaian hidup terlalu luas skopnya dan ia juga termasuklah penyesuaian dari segi rumahtangga, tempat kerja, tempat menuntut ilmu dan sebagainya. Perkhidmatan ini bukan sahaja kepada kerjaya, peribadi atau kehidupan seharian, tetapi ia juga menjurus kepada masalah psikologi dan emosi yang memerlukan bantuan untuk menyelesaikannya. Seorang kaunselor menggunakan pelbagai metod untuk membantu individu bermasalah ini seperti menggunakan ujian atitude, maklumat kerjaya, aktiviti penerokaan dan situasi berstruktur. Selain itu, mereka juga menggunakan "interview terapeutik". Lapangan kerja untuk seorang kaunselor tidak terhad untuk satu tempat, tetapi ia sangat luas. Ia termasuklah di sekolah-sekolah, di jabatan kerajaan dan swasta, di universiti dan lain-lain. Melihat kepentingan kaunselor dalam kehidupan seharian manusia sejagat , kami mendapati kerjaya kaunselor ini sangat menarik untuk dikaji. Ini kerana dengan kajian yang akan dijalankan ini, masalah atau segala bentuk tekanan yang dihadapi oleh seseorang kaunselor itu dapat dikaji dan difahami oleh kami dan seterusnya oleh masyarakat setempat. Kajian ini juga untuk mengenal pasti bagaimana seorang kaunselor yang selalunya cuba untuk menyelesaikan masalah orang lain mengawal emosi tertekan atau tekanan yang dihadapinya sama ada dari masalah dalaman atau luaran.
Kaedah Kajian:
Terdapat dua pendekatan yang digunakan dalam perlaksanaan kajian ini. Salah satunya adalah kaedah menemu bual. Kumpulan sasaran kajian kami adalah ahli kaunselor UKM Bangi dan SMK LKTP Kahang Timur, Kluang. Kami akan mengedarkan 5 borang temubual kepada responden iaitu empat kaunselor daripada UKM Bangi dan seorang lagi kaunselor dari SMK LKTP Kahang Timur. Kami akan berjumpa dengan semua pihak kaunselor tersebut secara berasingan dan menemu bual mereka serta merakamkan setiap respons mereka menggunakan alat perakam suara. Selain daripada itu, kaedah rujukan akademik melalui internet juga merupakan salah satu metod kajian ini. Contohnya, kajian ilmiah yang dilakukan oleh individu-individu yang mengkaji tentang kaunselor.
Jangkaan Dapatan:
Kaunselor merupakan orang yang berpengaruh iaitu mempunyai kemahiran dalam aspek mengenal pasti dan menyelesaikan masalah orang awam. Namun, kaunselor juga tidak terlepas dari belenggu masalah. Pelbagai cabaran dan kekangan yang terpaksa dihadapi oleh mereka dalam menjalani kerjaya sebagai seorang kaunselor. Kajian ini mampu mengenal pasti faktor-faktor utama yang menyebabkan tekanan kepada ahli kaunselor contohnya seperti faktor berurusan dengan situasi krisis, kerja lebih masa, kekurangan kakitangan untuk melaksanakan tugas, membuat keputusan kritikal secara spontan, kejian atau ejekan peribadi daripada pelajar, rakan sebaya dan organisasi luar dan melaksanakan tugas yang bukan dalam deskripsi tugas. Diharap kajian ini dapat memberi satu mekanisma baru kepada masyarakat amnya supaya mereka mengetahui tekanan emosi yang dihadapi oleh pihak kaunselor juga cara mereka menghadapinya. Dengan hasil kajian yang akan diperoleh pada akhir kajian ini juga, diharap masyarakat dapat mengaplikasikan segala cara dan usaha seorang kaunselor itu dalam menangani masalah mereka secara sendirian atau bantuan orang lain, dalam kehidupan masing-masing dan mampu untuk mengawal dan mengatasi setiap inci masalah yang dihadapi secara sendirian tanpa bantuan pihak kaunselor.
No comments:
Post a Comment